
PUTRAJAYA: Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway susulan kemalangan bas berhampiran Tasik Asvatnet yang membabitkan penumpang dari beberapa negara termasuk Malaysia.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, penumpang bas berkenaan terdiri daripada pelancong China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis, dan Ukraine.
“Pasukan konsular dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa Norway memaklumkan, kemalangan itu berlaku pada pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan berhampiran Tasik Asvatnet.
Katanya, kejadian itu berlaku dalam keadaan cuaca buruk iaitu salji tebal dan angin kencang yang menyebabkan bas berkenaan hilang kawalan lalu terbabas.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan manakala empat lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Stokmarknes.
Pihak berkuasa Norway turut memindahkan semua penumpang yang terselamat, meskipun usaha menyelamat pada peringkat awal menghadapi cabaran akibat cuaca buruk.
Maklumat lanjut mengenai insiden ini dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa Norway pada 27 Disember waktu tempatan.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik maklumat tambahan diperoleh,” menurut Wisma Putra.
Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavägen 37, 114 31 Stockholm, Sweden atau melalui panggilan telefon di +46 8440 8400 (pertanyaan umum) / +46 73 536 9152 (di luar waktu bekerja & hujung minggu) atau emel di mwstockholm@kln.gov.my.