
KUALA LUMPUR: Seekor anjing mati dilaporkan mati dipercayai dipanah pekerja hanya kerana memasuki lorong lain di sebuah ladang di Selama, Perak pada 22 Disember lalu.
Insiden itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), yang mendakwa anjing dikenali sebagai Kutty itu mengalami cedera parah sebelum mati akibat tindakan kejam berkenaan.
Presidennya, R Kalaivanan berkata, SAFM mengecam keras kekejaman itu dan tindakan zalim tersebut tidak boleh dibiarkan berleluasa.
“Kekejaman itu mencabar prinsip asas kemanusiaan dan jelas melanggar undang-undang mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“SAFM berharap mana-mana saksi kejadian boleh tampil memberi keterangan dan membantu siasatan.
“Laporan rasmi boleh dibuat di balai polis terdekat, manakala aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga diperlukan untuk memulakan siasatan rasmi terhadap pelaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, keterangan saksi penting dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab
Beliau berkata, SAFM turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DVS menyiasat kes berkenaan.
“Kami menuntut penguatkuasaan penuh Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman berat terhadap pelaku kekejaman haiwan.
“Seksyen ini menyatakan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kekejaman terhadap haiwan masih berleluasa walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan.
“Sudah tiba masanya kita memperkukuh undang-undang dan memastikan penguatkuasaan lebih tegas dan berkesan,” katanya.