
KUALA LUMPUR : Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir dalam tempoh tiga hari bermula 29 Disember ini di sembilan jajahan di Kelantan.
JPS memaklumkan, jajahan terlibat termasuk, Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
Katanya, di jajahan Tumpat, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai Golok, Sungai Kelantan dan Sungai Pengkalan Nangka, manakala di Pasir Mas, ia membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
“Di Kota Bharu pula ia membabitkan tiga lembangan sungai iaitu lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pengkalan Datu dan lembangan Sungai Semerak. Selain itu, di Pasir Puteh ia melibatkan lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Semerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, bagi jajahan Bachok, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Semerak, manakala di Tanah Merah, ia melibatkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
Di Kuala Krai katanya, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai Kelantan, manakala di Jeli, ia melibatkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
“JPS akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan signifikan berterusan di lembangan-lembangan sungai tersebut,” katanya.
Tambahnya, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan.
“Oleh itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada dan sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.