
PUTRAJAYA: Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) akan diteruskan bagi tahun 2025 dengan tawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600GWj dengan kadar premium yang sama iaitu 10sen/kWj untuk pengguna voltan rendah dan 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi.
Program itu juga menyaksikan beberapa penambahbaikan diperkenalkan mulai tahun depan termasuk pembukaan langganan jangka panjang bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga 2027.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan memaklumkan, mereka bersama Suruhanjaya Tenaga sudah meneliti semula pengoperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna terhadap program GET.
“Antara yang diputuskan oleh kerajaan ialah pengguna yang melanggan GE pada tahun depan tidak akan dikenakan caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT). Langkah ini penting bagi memberikan gambaran sebenar mengenai tenaga elektrik hijau tidak terdedah dengan pergerakan harga bahan api.
“Selain itu, kadar premium GET bagi tahun 2025 ditetapkan pada kadar 10sen/kWj bagi pengguna kediaman dan pengguna bukan kediaman voltan rendah (tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan F, Pertanian Spesifik H serta Lampu Jalan G & G1) dan 20sen/kWj bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi (tarif Perdagangan C1, C2, C3 & C4, Perindustrian E1, E2 & E3, Perlombongan F1 & F2 serta Pertanian Spesifik H1 & H2).
“Langganan juga boleh dilakukan mulai 1 Mac 2025 melalui portal myTN dan pengguna boleh melakukan backdate subscription untuk tempoh bermula 1 Januari 2025,” menurut kenyataan itu.
Program GET yang diperkenalkan pada tahun 2021, merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.
GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GWj bekalan elektrik hijau kepada melebihi 3,000 pengguna elektrik dalam pelbagai kategori dan membantu pengguna dalam memenuhi komitmen Environmental, Social and Corporate Governance (ESG) khususnya dari aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.
Sementara itu, perincian lanjut mengenai program GET boleh didapati menerusi laman sesawang TNB.