Masih Tiada Air Dalam Masa Terdekat – Air Selangor


KUALA LUMPUR, 5 Okt  — Pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual di 274 kawasan terjejas tidak dapat ditentukan sehingga pagi ini dengan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum beroperasi sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Menurut kenyataan Air Selangor, sehingga 7.30 pagi ini pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Semenyih dan berada pada tahap 5 TON di Muka Sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 TON di Muka Sauk LRA Sungai Semenyih.

“Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Air Selangor turut menyarankan para pengguna untuk mengambil bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang telah disediakan.

SUMBER — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *