
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setuju memperuntukkan RM200 juta untuk menambah baik mutu capaian internet di semua Institut Pendidikan MARA (IPMA).
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata jumlah itu termasuk tambahan peruntukan RM50 juta kepada RM150 juta yang diluluskan sebelum ini.
“MCMC sudah setuju sediakan dana untuk menyelesaikan semua masalah internet di semua institusi pendidikan MARA berjumlah RM150 juta.
“Saya minta ia ditambah lagi RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta untuk selesaikan masalah internet dikampus (MARA),” katanya berucap pada Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang.
Fahmi berkata, peningkatan kemudahan internet perlu seiring dengan kesedaran penggunanya, menggunakan perkhidmatan itu dengan selamat serta mengelak terjerumus dengan jenayah.
“Saya berasa serba salah, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk selesaikan masalah internet, memastikan ia laju, murah tapi kalau (segelintirnya) disalahgunakan untuk aktiviti jenayah dan sebar fitnah.
“Saya tak mahu (perkhidmatan) internet laju dan baik ini disalahgunakan. Saya harap dalam MARA sendiri boleh bersama (kementerian dan MCMC) dalam (menjayakan) kempen internet selamat.
“Memahami pentingnya penggunaan internet dengan selamat, iaitu tak jadi mangsa scam, buli siber dan (terlibat dengan) jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.
Kementerian Komunikasi menerusi MCMC sebelum ini turut memaklumkan memperuntukkan lebih RM600 juta untuk menambah baik akses rangkaian WiFi di semua universiti awam di seluruh negara, dijangka siap tahun ini.