
Kuala Lumpur: ASEAN membuat keputusan untuk tidak bertindak balas terhadap tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada semua negara di rantau itu.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri Ekonomi ASEAN, sebaliknya berdasarkan perkembangan ini, mereka menyatakan hasrat bersama untuk mengadakan dialog yang terbuka dan membina dengan AS bagi menangani kebimbangan berkaitan perdagangan.
Kata kenyataa itu, komunikasi terbuka dan kerjasama akan menjadi kunci kepada usaha mengekalkan hubungan yang seimbang dan mampan.
“Dalam semangat ini, ASEAN komited untuk tidak mengenakan sebarang tindakan balas terhadap tarif yang dikenakan oleh AS,” katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) menegaskan hubungan akan terus menjalinkan kerjasama yang kukuh dan berterusan antara ASEAN dan AS.
Katanya, AS memainkan peranan penting selama lebih empat dekad sebagai Rakan Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN dalam membina pembangunan serantau berteraskan ASEAN yang mempromosikan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan di rantau ini, selain memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Pada 2024, ASEAN adalah rakan dagang kelima terbesar bagi AS. ASEAN, selaku ekonomi kelima terbesar di dunia, amat prihatin terhadap pengenalan tarif sehala oleh AS baru-baru ini, termasuk tarif yang diumumkan pada 2 April 2025 dan penggantungan terkini pada semalam.
“Langkah ini menimbulkan ketidaktentuan dan bakal membawa cabaran besar kepada dunia perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta terhadap dinamik perdagangan global.
“Tindakan luar biasa pelaksanaan tarif oleh AS ini akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta global, termasuk rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna di seluruh dunia, termasuk di AS sendiri,” katanya.
Kenyataan itu juga menyatakan, ASEAN menganggap AS sebagai rakan ekonomi ASEAN yang lama terjalin dan sangat dihargai, selain kekal komited untuk melindungi kepentingan ekonomi serta mengekalkan hubungan dagangan yang kukuh dan saling menguntungkan dengan AS.
“Ini khususnya, kami mengulangi kesediaan untuk bekerjasama dengan AS di bawah ‘ASEAN-US Trade and Investment Framework Agreement (TIFA)’ dan ‘Expanded Economic Engagement (E3) Workplan’, bagi meneroka penyelesaian yang boleh diterima bersama dalam isu-isu berkepentingan bersama.
“Ini termasuk memudahcara perdagangan dan pelaburan dua hala, memperdalam kerjasama perdagangan strategik, serta meningkatkan keterhubungan dan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi yang mampu mengukuhkan kerjasama serantau.
“ASEAN percaya bahawa rangka kerja kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang dipertingkat, kukuh dan berwawasan akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat kita dan ekonomi global secara lebih luas.
Menurut kenyataan itu lagi, mellaui rangka kerja seperti ini akan memperkukuh keterlibatan yang membina, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan mendorong inisiatif inovatif untuk memastikan hubungan ekonomi yang berdaya tahan, selamat, stabil dan saling menguntungkan.
Katanya, ini dengan memberi tumpuan khusus kepada sektor bernilai tinggi termasuk perkhidmatan digital dan industri berasaskan pengetahuan, makanan, pertanian dan perhutanan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, pembuatan dan elektronik berteknologi tinggi, pakaian dan kasut, barangan pelancongan, penjagaan kesihatan dan bioteknologi, serta produk dan peralatan pengangkutan,” katanya.