
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) giat menyiasat sejumlah kandungan dalam media sosial yang didapati berunsur menghina Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ia termasuk kes membabitkan seorang individu yang memfitnah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang sudah pun meminta maaf.
“Saya ambil maklum individu itu secara khusus sudah memohon maaf dan saya harap ia menjadi pengajaran kepadanya untuk tidak mengeluarkan kenyataan tidak berasas, termasuk memfitnah kerana Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ialah dua institusi penting dalam negara.
“Jika pihak berkuasa ingin mengambil tindakan, saya serahkan kepada mereka tapi kita akan terus pantau. Jika ada aduan daripada orang ramai, MCMC akan bertindak,” katanya selepas menjadi tetamu jemputan dalam program Podcast Edisi Khas Buletin TV3 di sini, hari ini.
Terdahulu, tular seorang pengguna dalam aplikasi TikTok mendakwa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menikmati santapan tengah hari di sebuah restoran tidak halal.
Bagaimanapun, video itu sudah diturunkan dan pengguna itu juga turut membuat permohonan maaf.
Pada masa sama, Fahmi sekali lagi mengingatkan pengguna media sosial supaya berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan atau komen.