
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital berjaya menarik pelaburan sebanyak RM213.95 bilion dan menarik 710 syarikat baharu untuk melabur di Malaysia menerusi Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5).
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negara ini sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi digital.
Bahkan, dalam menjawab soalan Rita Sarimah Anak Patrick Insol ketika sidang Dewan Negara hari ini, Gobind menyatakan menerusi inisiatif DIF5 itu juga, negara berjaya mencipta 76,429 peluang pekerjaan baharu setakat suku ketiga 2024.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyediakan beberapa program untuk mendepani cabaran digitalisasi.
Katanya, setakat November lalu, program MD Workforce Directory mempunyai 219 kursus dan pensijilan dengan permintaan tinggi dalam pasaran yang dirangka khusus dan diiktiraf oleh pakar industri digital.
“Sebanyak 4,644 peserta telah menyertai inisiatif ini setakat November lalu, untuk memberikan galakan kepada tenaga kerja tempatan dalam mempertingkat kemahiran serta memberi latihan semula dalam kursus atau pensijilan berkaitan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), penyimpanan awan, data sains dan animasi.
“Sebanyak 2,481 peserta menyertai program ini, untuk memperkasakan penganggur dengan kemahiran digital canggih seperti pemasaran digital, keselamatan siber, aspek berkaitan pusat data dan sebagainya melalui kerjasama dengan rakan industri terpilih,” katanya.