
PULAU MERANTI: Projek Pembinaan Tapak Simulasi Bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sudah mencapai 99 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025.
Pusat itu bakal menjadi pusat simulasi bencana pertama di Malaysia dan yang kedua di rantau Asia Tenggara selepas Singapura.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu bertujuan melatih dan memantapkan kepakaran pengawai serta anggota SMART, selain melakukan simulasi bencana supaya negara ini sentiada dalam keadaan bersedia.
“Projek dibawah kelolaan Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini mempunyai keupayaan membuat simulasi pelbagai scenario bencana yang akan menjadi asas kepada Latihan komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar.
“Fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat ini dijangka dapat menyokong semua keperluan bagi memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group) iaitu satu badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa,” katanya ketika meninjau status kemajuan projek tersebut, di sini hari ini.
Projek itu bakal menyaksikan beberapa modul simulasi akan dilakukan seperti Modul Kereta Kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel), Modul Hazmat (modul menyelamat di kawasan yang terdapat bahan-bahan berbahaya), Modul Menyelamat
Kemalangan Keretapi Bawah Tanah, Modul Menyelamat Bangunan Runtuhan Penuh, Modul Menyelamat Bangunan Runtuhan Pelbagai, Modul Menyelamat Bangunan Separa Runtuh, Modul Menyelamat Bangunan Condong dan Menara ‘Abseiling’.
Sementara itu, Ahmad memberitahu, Kementerian Kerja Raya berharap momentum kerja yang dicapai dalam projek berkenaan dapat dicapaikan atau dipertingkatkan.
“Kementerian juga berbesar hati untuk melihat projek ini dapat disiapkan tepat pada waktunya atau lebih awal di samping mengekalkan mutu, kos dan rekod keselamatan di tapak pembinaan,” ujarnya.