
KUALA LUMPUR: Bayaran haji bagi tahun 2025 meningkat sebanyak 20 peratus untuk jemaah muassasah kumpulan B40 dan M40, namun kos mengerjakan ibadah haji kekal pada kadar RM33,300.
Kenaikan itu berikutan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi tahun depan, kadar bayaran jemaah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000, meningkat berbanding RM12,356 seorang pada tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, kos haji pada tahun ini masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
Beliau berkata, pihaknya mengambil pelbagai langkah termasuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat.
Katanya, harga penginapan di tanah suci juga mengalami peningkatan mendadak susulan pembangunan pesat di Makkah dan Madinah.
“Namun, TH berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.
“Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan dengan ia adalah di luar kawalan TH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H di Menara TH Tun Razak di sini, hari ini.
Syed Hamadah berkata, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah haji muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat haji.
Jelasnya, bagi kumpulan B40, bantuan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM18,300 atau 55 peratus, manakala bagi jemaah haji kumpulan M40 berjumlah 29 peratus (RM9,800).
“Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
Katanya, jumlah itu termasuk bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang bagi jemaah muassasah kali pertama dalam kalangan kumpulan B40.