
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mercedes ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian pukul 12.35 tengah hari itu, pemandu Mercedes yang berusia 34 tahun merupakan warga tempatan merempuh sebuah motosikal selepas keluar dari Plaza Tol Chan Sow Lin di Lebuhraya SPE.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pemandu kereta terbabit didakwa tidak berhenti selepas kenderaannya merempuh motosikal yang ditunggangi lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Kereta SUV itu kemudiannya dikesan di Plaza Tol Wangsa Maju (Lebuhraya SPE) selepas berhenti kerana mengalami kebakaran bermula dari bahagian bonet hadapan kereta.
“Kita percaya kebakaran berlaku akibat kesan daripada pelanggaran kereta terbabit dengan penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan perut, manakala pemandu kereta berkenaan selamat.
“Sekiranya terbabit di dalam kemalangan adalah menjadi tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk membuat laporan polis.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Balai Polis Trafik di talian 03-2026 0267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Terdahulu, video kejadian kemalangan itu tular dalam media sosial menunjukkan kereta berkenaan merempuh motosikal sebelum terbakar dalam jarak 8 kilometer dari lokasi rempuhan.