
AYER KEROH: Kerajaan negeri menukar cuti umum 1 Ramadan yang kebiasaannya diberikan kepada penduduk negeri itu kepada hari raya ketiga bermula tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata keputusan itu diambil bagi memberi lebih keselesaan kepada penjawat awam dan swasta di negeri itu untuk bercuti bersama keluarga sempena hari kebesaran Islam yang dijangka disambut pada akhir bulan depan.
“Kerajaan negeri memulakan satu langkah baharu dengan cuti umum pilihan yang pada kebiasaannya disambut pada awal Ramadan, dipindahkan menjadi cuti tambahan kepada hari raya ketiga bermula tahun ini.
“Ia sekali gus menjadikan Melaka adalah negeri pertama yang memberikan cuti umum selama tiga hari pada Aidilfitri nanti. Diharap penjawat awam bolehlah merancang untuk bercuti bersama keluarga dan insya Allah kita menjadi negeri rintis cuti pilihan dipindahkan kepada cuti hari raya ketiga pada Aidilfitri nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang dihoskan Hospital Pakar Putra (PSH) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, berbaki lima hari lagi untuk melangkah ke bulan Ramadan, beliau berharap masyarakat Islam di negeri itu dapat merebut peluang dengan mencari keberkatan menerusi pelaksanaan aktiviti serta ibadah sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.
Katanya, selain itu saya juga mahukan bulan mulia itu menjadi medan untuk memperbaharui hubungan dan menebarkan kasih sayang serta memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada seluruh rakyat terutamanya di Melaka