
KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM22 bilion bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu meliputi kawasan yang dikenal pasti pelaksanaan projek berkenaan untuk mengatasi masalah banjir pada masa hadapan.
“Dengan berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim, kita berterima kasih kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberikan beberapa unjuran berdasarkan kawasan yang dijangka mengalami masalah banjir.
“Jadi pihak kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif untuk melaksanakan RTB.
“Ia meliputi semua kawasan yang sedang dikenal pasti untuk dilakukan naik taraf agar tebatan banjir ini dapat mengelakkan banjir di kawasan yang terbabit,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke projek RTB Persekitaran Kawasan Lido di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata projek RTB Persekitaran Lido bernilai RM800 juta dilaksanakan bagi menyelesaikan banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa pakej kerja RTB sudah dilaksanakan, namun masih ada beberapa pakej belum selesai dan perlu dibuat supaya masalah banjir di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dapat diselesaikan.
“Kita memerlukan kira-kira RM800 juta peruntukan tambahan yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk dilaksanakan,” katanya.
RTB Persekitaran Lido merangkumi pembinaan kolam takungan dan pembinaan pam serta sistem untuk menghalang kemasukan air pasang adalah sebahagian daripada program Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog yang membabitkan daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Projek itu dijadual siap pada Mac depan tetapi syarikat kontraktor yang melaksanakannya mendapat tambahan masa sehingga Jun tahun depan berikutan berlaku kelewatan dalam penyiapan kerja.
Mengulas mengenai kelewatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu bukan disebabkan masalah kontraktor atau JPS.
“Kelewatan ini bukan salah pihak JPS atau kontraktor tetapi ia membabitkan pemindahan utiliti dan pengambilalihan tanah.
“Maka kita menerima alasan itu namun pihak JPS sentiasa memantau agar banjir yang berlaku empat kali setahun di kawasan ini dapat diatasi,” katanya.