
PELABUHAN KLANG: Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) akan memulakan sekatan sepenuhnya terhadap kenderaan haulier yang membawa muatan melebihi Berat Gabungan Kenderaan (BGK) keluar atau masuk ke Pelabuhan Klang berkuat kuasa 1 Mei ini.
Pengerusi LPK, Ean Yong Hian Wah, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas-Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) yang dipengerusikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 25 November tahun lalu.
Beliau berkata, mesyuarat itu memutuskan bahawa LPK perlu membuat sekatan bagi menghalang kenderaan haulier daripada membawa muatan melebihi BGK dari atau ke Pelabuhan Klang berdasarkan peraturan sedia ada.
“Selaras keputusan Mesyuarat NLTF, Pusat Logistik Negara (PLN), Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui surat rujukan bertarikh 18 Februari lalu mengarahkan LPK melaksanakan sepenuhnya sekatan ke atas kenderaan Haulier yang membawa muatan melebihi BGK keluar atau masuk pelabuhan.
“Bagi transaksi import, semakan dibuat di peringkat tempahan dan tempahan akan ditolak sekiranya jumlah muatan melebihi BGK.
“Bagi transaksi eksport, ia akan ditimbang di pintu masuk pelabuhan. Sekiranya kenderaan haulier didapati melanggar jumlah muatan melebihi BGK sebanyak tiga kali maka kenderaan haulier itu akan disekat daripada memasuki pelabuhan.
“Sekiranya kenderaan berkenaan melanggar syarat muatan melebihi tiga kali, pihaknya akan menyerahkan kepada MOT untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat LPK, di sini hari ini.
Hian Wah menjelaskan, gabungan berat Berat Tanpa Muatan (BTM) Prime Mover atau kepala lori kontena ditambah BTM treler serta Verified Gross Mass Kontena menghasilkan BGK.
“Sebelum memutuskan tindakan sekatan dilaksanakan, pihaknya sudah melaksanakan satu kajian bermula pada 10 Disember sehingga 31 Disember lalu bagi mengetahui berapa kenderaan yang melebihi BGK, berapa yang sudah berdaftar dan sebagainya.
“Kajian dilaksanakan di kedua-dua pelabuhan iaitu Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat yang mana dianggarkan 20 hingga 30 peratus kenderaan melebihi BGK dan tidak mematuhi peraturan/undang-undang MOT.
“Semua syarikat logistik yang hendak berurusan dengan Pelabuhan Klang perlu berdaftar dengan LPK, setakat ini sebanyak 340 syarikat sudah mendaftarkan kenderaan haulier mereka.
“Berdasarkan kajian itu, bagi Pelabuhan Utara sebanyak 23,864 kenderaan haulier (export) dan 21,954 (import), manakala Pelabuhan Barat pula sebanyak 57,978 (export) dan 72,475 (import),” katanya.
Jelasnya, semua syarikat logistik yang berurusan dengan Pelabuhan Utara atau Pelabuhan Barat sudah diberikan taklimat sebanyak tiga kali oleh LPK.
Katanya, pelaksanaan sekatan bertujuan meminimumkan kerosakan jalan raya di sekitar Pelabuhan Klang, malah perkara itu menjadi perhatian pihak berkepentingan industri logistik.
“Keadaan jalan yang rosak bukan sahaja memburukkan imej Pelabuhan Klang, tetapi memberi impak besar terhadap keselamatan pengguna jalan raya serta memerlukan kos yang amat tinggi bagi penyelenggaraan.
“Salah satu faktor utama yang menjadi punca kerosakan jalan raya adalah kenderaan haulier membawa muatan melebihi Berat Gabungan Kenderaan (BGK) dari atau ke Pelabuhan Klang, malah keadaan ini juga menyebabkan beberapa kes kemalangan maut,” katanya.






