

Sistem komunikasi kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) lemah dan tidak jelas sehingga menimbulkan kekeliruan serta mengurangkan keyakinan pelabur.
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu lebih jelas dengan perkara yang dimaksudkan sebagai sektor perlu yang hanya melibat industri makanan dan minuman termasuk yang terbabit dalam rangkaian bekalan dan pengagihan produk.
Beliau berkata, disebabkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang tidak menentu telah menyebabkan beberapa masalah timbul.
“Kita melihat perniagaan terpaksa dikecilkan dan tidak lagi mengambil kakitangan kerana ketidakpastian mengenai dasar kerajaan menghalang mereka melabur untuk beroperasi atau memperluaskan operasi atau lebih teruk lagi, mereka terpaksa menutup terus operasi.
“Memandangkan banyak kluster berpunca dari tempat kerja, terutamanya kilang, kerajaan hendaklah mengarahkan ia ditutup dan menjalankan saringan besar-besaran bagi semua pekerja tempatan dan asing.
“Biarpun kilang berkenaan menghasilkan produk eksport penting seperti barangan elektrik dan elektronik atau sarung tangan perubatan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today hari ini.
Selain itu, beliau berkata, walaupun wabak Covid-19 sudah melanda negara sejak setahun lalu, hala tuju kerajaan dilihat masih tidak jelas apatah lagi ingin keluar daripada bahaya.
“Kebimbangan saya berdasarkan keadaan semasa ialah kemungkinan besar sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini tidak akan tercapai.
“Ternyata kita tidak cukup pantas kerana jangkitan baharu dan angka korban semakin meningkat. Minggu lalu, kita mencapai purata 7,000 kes dan 60 kematian sehari, malah Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencapai kapasiti maksimum,” katanya.
Johari turut bersetuju untuk lockdown penuh dilaksanakan berdasarkan situasi semasa Covid-19 kerana sekatan pergerakan yang berulang kali bukan sahaja membawa kesan buruk kepada ekonomi bahkan permintaan dan mencetuskan ketidakpastian.
Antara lain, Johari berkata, kerajaan perlu bertindak pantas bagi memastikan rakyat mempunyai wang yang cukup untuk membeli keperluan asas sepanjang sekatan pergerakan penuh malah bantuan yang disalurkan juga tidak seharusnya berdasarkan tahap pendapatan semata-mata.
“Setiap kali lockdown, pekerja sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri paling terkesan kerana bergantung kepada pendapatan harian.
“Pada awalnya, kita menguruskannya dengan baik. Namun, sejak pertengahan tahun lalu, satu persatu masalah timbul. Sekarang kita di bawah lockdown dan saya sangat bimbang dengan nasib rakyat terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya
Sumber Utusan Malaysia