
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital akan terus memperketat modul latihan kecerdasan buatan (AI) berdasarkan risiko baharu yang dikenal pasti, termasuk ancaman deepfake dan penyalahgunaan teknologi berkenaan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah itu dilaksanakan menerusi AI Malaysia Bhd yang turut mempunyai inisiatif AI Safe dengan penglibatan pakar bagi meneliti aspek keselamatan serta mengenal pasti langkah pencegahan terhadap ancaman teknologi baharu.
“Jadi memang ini perkara dalam pantauan AI Malaysia Bhd dan ia dalam pelaksaan. Kita akan pastikan setiap modul diperketatkan lagi apabila kita dapat kenal pasti risiko baharu dan tindakan yang boleh diambil untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada risiko tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah kerajaan menangani risiko penggunaan AI dalam kalangan penjawat awam serta penyalahgunaan teknologi itu termasuk deepfake, suara tiruan, video palsu dan penipuan berasaskan AI.
Gobind berkata modul latihan yang ditawarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat turut merangkumi penerangan mengenai risiko penggunaan teknologi baharu serta kaedah mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penyalahgunaannya.
Beliau berkata aspek berkenaan turut diterapkan dalam Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDLP) dan penggunaan Gemini Workspace dalam sektor awam bagi memastikan penjawat awam memahami risiko yang wujud seiring perkembangan AI.
Menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai peranan AI Malaysia Bhd dalam memperluas pembangunan bakat dan kemahiran AI khususnya dalam kalangan belia, Gobind berkata usaha itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, industri dan institusi akademik.
Beliau berkata AI Malaysia Bhd berperanan mengenal pasti keperluan bakat negara, mengumpulkan maklumat mengenai modul latihan sedia ada serta menilai kesesuaiannya dengan kehendak industri dan kumpulan sasaran.
Katanya, usaha itu juga bertujuan mengenal pasti jurang latihan yang masih wujud supaya modul baharu dapat dibangunkan bagi memenuhi keperluan masyarakat merentas pelbagai lapisan.
Gobind berkata kementerian kini dalam proses membentuk struktur membolehkan AI Malaysia Berhad melaksanakan peranan berkenaan secara menyeluruh, sekali gus memastikan inisiatif pembangunan bakat AI sampai kepada rakyat yang memerlukan kemahiran baharu. – BERNAMA





