
KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab pelaburan hijau, kerjasama teknologi dan perkongsian komersial menerusi International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2026 (IGEM 2026) serta Kuala Lumpur Sustainability Summit 2026 (KLSS 2026).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selepas 16 tahun berkembang sebagai antara platform teknologi hijau dan perniagaan mampan terkemuka di Asia Tenggara, IGEM kini memainkan peranan penting dalam menghubungkan inovasi dengan pasaran, perusahaan dengan pelabur serta aspirasi nasional dengan peluang serantau.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, Malaysia komited mempercepat peralihan hijau yang adil, tersusun dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras.
“Perubahan iklim tidak mengenal sempadan malah peningkatan kejadian banjir, cuaca panas berpanjangan, hakisan pantai serta tekanan terhadap sumber air dan keselamatan makanan di rantau ini membuktikan kesannya sudah dirasai masyarakat.
“Justeru, tindakan menangani perubahan iklim perlu diterjemahkan kepada langkah yang mampu melindungi kehidupan, memperkukuh mata pencarian serta menjamin masa depan generasi akan datang,” tegasnya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Mesra Alam Antarabangsa Malaysia 2026 (IGEM) ke-17 serta Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur 2026 (KLSS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.

Penganjuran IGEM 2026 bertemakan ‘Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries’ menekankan keperluan mempercepat tindakan menangani perubahan iklim yang semakin memberi kesan kepada kehidupan dan ekonomi masyarakat.
Fadillah berkata, Malaysia turut memperkukuh komitmen iklimnya menerusi Sumbangan Ditentukan Negara Ketiga (NDC 3.0) dengan sasaran mengurangkan pelepasan mutlak sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara (CO2e) menjelang 2035 daripada paras kemuncak pelepasan.
Beliau menjelaskan, daripada jumlah itu, sehingga 20 juta tan CO2e merupakan pengurangan secara bersyarat manakala tambahan 10 juta tan CO2e bergantung kepada sokongan antarabangsa menerusi pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.
“Malaysia juga menggunakan Keluk Kos Pengurangan Marginal (Marginal Abatement Cost Curve) sebagai asas menentukan keutamaan tindakan, dengan kira-kira 70 peratus daripada potensi pengurangan pelepasan yang dinilai boleh dicapai menerusi langkah berkos pengurangan negatif atau rendah.
“Keadaan tersebut menyediakan asas praktikal untuk mempercepat usaha pengurangan pelepasan, walaupun aktiviti yang lebih sukar dinyahkarbon memerlukan pelaburan lebih besar serta teknologi lebih maju,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peralihan hijau mesti mewujudkan peluang kepada perusahaan semua saiz, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Katanya, IGEM berperanan menghubungkan perusahaan tempatan dengan penyedia teknologi, rakan pembiayaan dan pembeli antarabangsa, selain inisiatif seperti Pemadanan Perniagaan dan Penanda MyHIJAU yang membantu usahawan membuktikan kredential alam sekitar produk serta perkhidmatan mereka.
“Dari segi pembiayaan, kerajaan terus menyokong pelaburan hijau melalui instrumen seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 5.0 dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau.
“Bagaimanapun, langkah tersebut perlu disertai penyediaan projek yang teguh dan penilaian yang kredibel supaya modal disalurkan kepada projek yang berdaya maju secara komersial dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Mengenai kerjasama serantau, beliau berkata Malaysia kekal komited memajukan sambungan elektrik rantau melalui Grid Kuasa ASEAN (APG) berasaskan momentum Pengerusi ASEAN 2025. Inisiatif seperti Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) dan Bursa Tenaga Malaysia (ENEGEM) menyokong hala tuju itu.
“Bagaimanapun, usaha itu memerlukan pelaburan berterusan, penyelarasan peraturan dan paling utama, kepercayaan antara rakan serantau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran bagi industri hijau baharu melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjasama universiti-industri serta peluang peningkatan kemahiran.
“Kecerdasan buatan (AI), analitik data dan automasi pintar dijangka memainkan peranan semakin besar dalam pengurusan grid, meningkatkan kecekapan tenaga serta menyokong pembuatan keputusan dalam pelbagai sektor.
“Pelaksanaan agenda ini memerlukan komitmen seluruh negara, melibatkan kerajaan, industri, institusi kewangan, institusi penyelidikan, kerajaan negeri dan komuniti tempatan,” ujarnya.
Katanya, IGEM dan KLSS diharap menjadi medan yang menghimpunkan pelbagai pihak untuk memastikan kerjasama tidak terhenti di ruang persidangan tetapi diterjemahkan kepada keputusan pelaburan, penggunaan teknologi serta pelaksanaan projek yang memberikan hasil nyata kepada rakyat.





