
KUALA LUMPUR: PROTON membuka tempahan bagi All-New PROTON X50 Sport Edition (SE), edisi khas yang diperkenalkan sempena ulang tahun keenam model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) popular itu di pasaran Malaysia.
X50 SE didatangkan dengan 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman sekali gus memberikan karakter lebih berani, sporty dan tersendiri kepada model berkenaan.
Sejak diperkenalkan pada 27 Oktober 2020, PROTON X50 mencatat jualan kumulatif melebihi 177,000 unit di pasaran domestik dan eksport.
PROTON X50 merupakan SUV paling berjaya keluaran PROTON serta SUV segmen-B terlaris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.
Sepanjang enam tahun berada di pasaran, SUV berkenaan terus melalui pelbagai evolusi dari aspek reka bentuk, prestasi, teknologi dan keselamatan, selain mengekalkan daya tarikan dalam kalangan pengguna Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, X50 terus berkembang seiring perubahan kehendak pelanggan.
“PROTON X50 telah berkembang dengan ketara sepanjang enam tahun lalu dan perjalanannya mencerminkan bagaimana PROTON terus memenuhi perubahan jangkaan pelanggan.
“All-New PROTON X50 Sport Edition adalah perkembangan terbaharu itu, dengan karakter lebih tersendiri dan sporty, selain mengekalkan prestasi, teknologi dan keselamatan yang sudah dihargai pelanggan,” katanya.

Dari segi luaran, X50 SE menggunakan kemasan dominan hitam yang digabungkan dengan aksen merah bagi menyerlahkan penampilan lebih sporty.
Antara kemasan baharu ialah Black Front Upper Garnish, Black Front Side Port Trim Garnish, Black Lower Bumper Garnish dan Black Rear Side Port Trim Garnish, selain rim aloi hitam bersaiz 18 inci.
Model edisi khas itu turut dilengkapi kemasan skirt bahagian hadapan, sisi dan belakang yang memberikan profil lebih dinamik.
Identiti baharu X50 SE dilengkapkan dengan lencana eksklusif Sport Edition.

Tema sporty itu diteruskan ke ruang kabin menerusi kemasan dalaman hitam dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk.
Tempat duduk hadapan turut menerima sulaman Sport Edition, manakala lantai kabin dihiasi perincian Sport Edition bersama alas kaki TPE.
Alas kaki berkenaan direka untuk kegunaan harian dalam keadaan cuaca Malaysia kerana ringan, fleksibel dan cepat kering, sekali gus lebih praktikal ketika berdepan keadaan hujan dan kelembapan tinggi.
Penampilan agresif dan identiti lebih eksklusif, All-New PROTON X50 Sport Edition menjadi pilihan baharu kepada pelanggan yang mahukan penampilan berbeza tanpa mengetepikan ciri prestasi, teknologi dan keselamatan yang menjadi asas X50.






