
KUALA LUMPUR: Pengekalan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan ‘Stabil’ oleh Moody’s Rating (Moody’s) mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penarafan itu juga meletakkan pembangunan ekonomi negara kekal pada landasan, terutamanya pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstruktur semula ekonomi global dan perpecahan geopolitik.
“Pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen tidak berbelah bahagi.
“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan onomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Anwar, bagi tahun 2025, kerajaan MADANI akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, selain memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, usaha kerajaan itu juga akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.
“Selaku Pengerusi ASEAN, kerajaan Madani akan menerajui lok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang menguntungkan bagi rantau Asia Tenggara,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Moody’s menyatakan keyakinan negara ini akan menjadi ekonomi dengan penarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan dating.
Penarafan positif itu jelas menunjukkan kekuatan struktur kredit negara melibatkan kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor menggalakkan perbelanjaan pengguna, di sokong pasaran modal domestik dan kewangan sofistikated.
Moody’s turut mengiktiraf sokongan utuh politik yang telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan komited menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
Berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun 2024 pada 4.8 peratus, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan di antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
Kerajaan juga optimis pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3 peratus daripada KDNK tahun lalu kepada 3.8 peratus pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.