KUALA LUMPUR: Selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan sikap keterbukaan kepada negara serantau sebagai usaha meyakinkan pelbagai pihak mengenai keupayaan negara menghadapi cabaran mendatang.
Peningkatan keyakinan negara luar terhadap Malaysia secara tidak langsung boleh memacu pertumbuhan ekonomi lebih kukuh, selain membentuk sektor sosial yang lebih adil.
Pakar geostrategis Dr. Azmi Hassan berkata, perhimpunan dan demonstrasi merupakan satu daripada medium untuk rakyat menyuarakan pandangan dan suara mereka mengenai pelbagai isu.
Katanya, walaupun isu yang dibangkitkan mungkin bercanggah dengan dasar kerajaan, namun kerajaan perlu bersikap terbuka bagi aspek kebebasan bersuara.
“Memang benar, demonstrasi dan perhimpunan boleh jejaskan imej negara dan kerajaan, namun jika isu yang dibangkitkan untuk kebaikan semua pihak, jadi kerajaan perlu bersikap terbuka dalam menanganinya.
“Walaupun mungkin timbul kritikan negatif pada kerajaan, namun perkara itu boleh dilihat sebagai satu ‘proses mengukuhkan pentadbiran’ kerana melalui pandangan rakyat, sesebuah kerajaan itu tahu apa yang mereka perlu lakukan demi kesejahteraan rakyat.
“Sikap terbuka kerajaan akan mempamerkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang sentiasa bersikap positif dan menerima segala kritikan untuk menjadi lebih baik, terutamanya dalam menyediakan keperluan yang menyeluruh untuk rakyat, ” katanya kepada Ceritera.

Semalam, Sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah menuntut tiga perkara daripada kerajaan bagi memastikan politik Malaysia bersih dan bebas daripada rasuah.
Antara tiga tuntutan yang diminta adalah memisahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri dengan dua tuntutan lain
adalah membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.
Dalam pada itu, Azmi berkata, giliran Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini membuka peluang kepada negara untuk menunjukkan bahawa rakyat bebas bersuara, terutamanya dalam menjadikan negara ini lebih kukuh dalam semua aspek.
Katanya, kadar kebebasan bersuara di Malaysia adalah jauh lebih baik berbanding di negara lain, selain kebanyakan perhimpunan yang dilakukan juga hanya melibatkan demonstrasi aman tanpa sebarang keganasan.
“Kita perlu melihat kebebasan bersuara ini sebagai batu lonjakan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan, terutamanya dalam mendengar setiap masalah yang dihadapi rakyat.
“Setiap kerajaan memang ada perkara negatif dan positif, namun apa yang penting adalah bagaimana kerajaan itu menanganinya.
“Kerajaan juga tidak mempunyai niat untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat biarpun isu yang dibangkitkan bercanggah dengan dasar kerajaan,” ujarnya.
