
KUALA LUMPUR: Peruntukan dibelanjakan kerajaan untuk diskaun tol pada musim perayaan sepatutnya digunakan untuk tujuan lain yang lebih berhemah bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin, menyifatkan kerajaan kehilangan peluang keemasan untuk melakukan pembaharuan fiskal dengan menarik balik keputusan pemansuhan tol percuma selain mendakwa keputusan menawarkan diskaun tol 50 peratus sebagai langkah mundur.
Shahrim yang juga bekas ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), berkata kerajaan dijangka membelanjakan RM640 juta sehingga akhir tahun ini bagi membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya sejak lima tahun lalu.
“Ia (keputusan pemansuhan tol percuma) sepatutnya menjadi permulaan yang baik untuk 2025 bagi kerajaan untuk tidak terbabit dalam perihal politik-ekonomi, di sebalik dasar yang mementingkan penggunaan kenderaan persendirian, yang mana wang pembayar cukai harus disalurkan untuk tujuan lain yang lebih bermakna.
“Kemungkinan besar, akan ada lebih banyak perbelanjaan yang tidak perlu oleh kerajaan untuk tempoh perjalanan Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, yang bukan saja menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian tetapi akan mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk, pencemaran udara dan pencemaran bunyi.
“Sebelum ini, tanpa diskaun atau tiada hari bebas tol pun, orang ramai tetap mengembara ketika tempoh perayaan, seperti mana yang jelas dilihat selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet, tahun lalu dan kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, kerajaan memutuskan untuk memberi potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina, yang membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan berjumlah RM20.08 juta, sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Shahrim berkata, wang RM640 juta itu sepatutnya boleh dibelanjakan untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan awam dan jalan raya, termasuk membeli set kereta api baharu atau menambah stok gerabak Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) atau Keretapi Tanah Melayu (KTM) antara Arau, Butterworth dan Ipoh, yang kini mengalami perkhidmatan terhad.
Selain itu, memberi perkhidmatan pengangkutan awam percuma bagi pelajar sekolah menengah, membeli lebih banyak mesin timbang mudah alih (WIM) bagi membendung masalah lebih muatan kenderaan berat dan subsidi kepada pengendali bas sekolah serta bas henti-henti untuk perkhidmatan pengangkutan awam komuniti bandar dan luar bandar.
Katanya, wang itu juga boleh digunakan untuk penyelesaian isu destinasi akhir (first-mile-last-mile) dengan memberi lebih banyak ruang untuk mobiliti mikro dan tambahan perkhidmatan bas pengantara KTM, Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) dalam lingkungan 10 kilometer (km) setiap stesen.
“Pada masa sama, bagi tujuan program komunikasi dan kesedaran keselamatan jalan raya di lima daerah paling buruk dengan kematian tertinggi di negara ini, menambah baik Klinik Kesihatan atau Klinik Komuniti, membaiki atau membina jambatan di Sabah untuk murid-murid ke sekolah dan membaiki Jalan Persekutuan,” katanya.
Shahrim turut menyifatkan keputusan “u-turn” yang dibuat kerajaan dalam isu tol percuma membingungkan, yang didakwa sebagai komunikasi bercelaru dalam kalangan anggota Kabinet.
“Mari kita berdoa dan berharap Kerajaan Persekutuan selepas ini tekad untuk melaksanakan perkara yang tepat dan bernas, bukannya cenderung ke arah keputusan popular apabila menggunakan duit pembayar cukai,” katanya.