
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencadangkan penalti terhadap 22 perusahaan kerana terbabit dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan pusat penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun, berkata selain berada pada peringkat keputusan cadangan, semua perusahaan yang terbabit itu juga didakwa kerana melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Katanya, berdasarkan siasatan MyCC, bukan saja terdapat cadangan untuk menaikkan yuran perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang sudah dibincangkan, malah ia sudah dipersetujui oleh semua perusahaan itu dalam satu mesyuarat persatuan.
“Keputusan itu kemudiannya dimaklumkan kepada semua ahli persatuan dan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak melalui pengedaran satu pekeliling.
“MyCC mendapati bahawa tindakan itu bertujuan untuk menghalang dan menyekat persaingan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perlu ditekankan di sini bahawa keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah masih pada peringkat dapatan awal.
“Justeru ia tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan dalam keputusan cadangan itu secara konklusifnya sudah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.
“Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, semua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan sudah dimaklumkan mengenai penalti dan arahan yang dicadangkan oleh MyCC.
“Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.
“Selepas itu, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada MyCC pada tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya.
MyCC juga memaklumkan mereka hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperoleh ketika proses penyiasatan.