
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
Bekas Perdana Menteri itu tiba di perkarangan Masjid Negara, di mana Istiadat Pengebumian Negara bagi Perdana Menteri kelima itu berlangsung sekitar pukul 10.35 pagi.
Terdahulu, Najib diberikan kebenaran oleh Jabatan Penjara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah pagi ini, dengan Mahkamah Tinggi yang mendengar kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut menangguhkan perbicaraan hari ini bagi tujuan itu.
Sebelum itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Penjara membenarkan Najib memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah.
“Yang Arif, anak guam saya telah membuat permohonan kepada Jabatan Penjara untuk menghadiri pengebumian dan memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah.
“Keseluruhan majlis diadakan di Masjid Negara, dengan solat jenazah berlangsung sejurus selepas solat Zohor,” katanya.
Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu dan perbicaraan ditetapkan untuk disambung esok.
Abdullah meninggal dunia pukul 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.