
SINGAPURA: Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Perdana Menteri Kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Lumpur hari ini.
Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam kenyataan, berkata Hsien Loong diiringi isterinya, Ho Ching dan pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar negara itu.
Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pukul 7.10 malam tadi.
Allahyarham dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Hsien Loong dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau amat sedih dengan pemergian Abdullah, yang dikenalinya sejak sebelum kedua-duanya menjadi perdana menteri.
Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima dari Oktober 2003 hingga April 2009, manakala Hsien Loong menjadi Perdana Menteri ketiga Singapura dari Ogos 2004 hingga Mei 2024.
“Beliau berkhidmat untuk negaranya dengan penuh dedikasi, berusaha gigih menangani pelbagai cabaran dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.
“Kami melakukan banyak perkara bersama untuk mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara Singapura dan Malaysia,” katanya.
Pada 2007, kedua-dua pemimpin mengadakan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia yang pertama di Langkawi, ia satu program tahunan yang diteruskan oleh pengganti mereka.
“Adalah satu penghormatan besar bagi saya mengenali Pak Lah dan berkongsi banyak perbualan mesra dengannya selama ini. Pemergian Pak Lah pasti dirasai ramai,” katanya.
Hsien Loong turut mengucapkan takziah kepada keluarga Abdullah dan rakyat Malaysia atas pemergiannya.