
PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam nahas tragik membabitkan pesawat Azerbaijan Airlines, Penerbangan J2-8243 berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aktau, Kazakhstan, semalam.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan kesembuhan kepada mereka yang cedera.
Untuk bantuan atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di 26 Sarayshyk Street, Diplomatic District, 010000 Astana, Kazakhstan atau hubungi +7 (7172) 79 06 90, +7 (7172) 79 06 95, atau +7 777 079 0014, atau melalui e-mel ke mwastana@kln.gov.my.
Menurut laporan media antarabangsa, pesawat Embraer 190 yang membawa seramai 67 penumpang itu dalam penerbangan dari Baku ke Grozny apabila ia terbakar semasa pendaratan cemas berhampiran Aktau.
Pihak berkuasa melaporkan setakat ini seramai 38 orang terbunuh dalam nahas tersebut dengan sekurang-kurangnya 28 terselamat.
Sebelum kejadian, pesawat itu dikatakan terbang merentasi Laut Caspian dan terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, yang merupakan hab minyak dan gas di pantai timur laut.