KUALA LUMPUR: Atlet gusti profesional wanita negara, Nor Phoenix Diana mendapat jemputan World Wrestling Entertainment (WWE) Tryout yang akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) nanti.
Nor Phoenix Diana atau pemilik nama sebenar Syaradeeba Khamarulzaman berkongsi berita gembira tersebut di laman sosial media miliknya baru-baru ini.
Dia dikenali sebagai ahli gusti pertama yang memakai hijab apabila beraksi di gelanggang berkata, sepuluh tahun kerja keras, pengorbanan dan kepercayaan akhirnya membawa kepada detik ini.

“Saya amat bersyukur kepada individu-individu yang telah membentuk perjalanan ini, terutamanya jurulatih saya @ayezshaukatfonseka serta latihan bertaraf dunia di @apacwrestling, dan juga pengalaman yang saya peroleh di @itsmebayley melalui @lodestone_est2025.
“Saya percaya pada usaha yang telah saya curahkan dan proses yang membawa saya ke tahap ini. Bersedia untuk memberikan segalanya dan merebut tempat saya di wwerecruit,” kongsi wanita berusia 27 tahun itu.
WWE Tryout merupakan sesi ujibakat rasmi oleh WWE untuk mencari dan menilai calon ahli gusti profesional (WWE Superstars) baharu.
Peserta akan diuji dari pelbagai aspek termasuk kecergasan fizikal, kemahiran gusti, disiplin, karakter dan personaliti serta potensi sebagai penghibur.
