KUALA LUMPUR : Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week (NTW) 2025 menyasarkan sejuta penyertaan rakyat negara ini untuk menyertai pelbagai latihan percuma secara fizikal atau dalam talian.
Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Amin berkata, NTW itu dibangunkan untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini yang tidak mempunyai akses pembelajaran memperoleh latihan tanpa menggunakan dana sendiri.
Selain itu, beliau menambah, NTW juga memberi peluang kepada pemain industri latihan memberi balik kepada masyarakat dengan menawarkan latihan-latihan secara percuma.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan satu juta penyertaan dari seluruh rakyat Malaysia manakala tahun lalu penyertaan adalah kira-kira 375,000.
“Kita berharap rakyat negara ini akan merebut peluang-peluang latihan yang ditawarkan kepada mereka secara fizikal atau atas talian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Ceritera selepas perasmian Majlis Kemuncak National Training Week 2025 di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Soffian berkata, pada tahun ini kebanyakan latihan-latihan yang ditawarkan memberi penekanan kepada kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kalau melihat tawaran latihan secara percuma lebih daripada 35 peratus terdapat kaitan dengan AI.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Karnival Pembelajaran NTW 2025 pula, beliau berkata, sepanjang dua hari karnival berlangsung terdapat pelbagai reruai menawarkan aspek pendidikan, pengetahuan malah mereka yang ingin mempelajari sesuatu yang baharu boleh merebut peluang di karnival itu.
“Di samping itu, HRD Corp turut berkolaborasi bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Job Fair pada karnival ini.
“Justeru, sesiapa yang ingin mencari pekerjaan boleh mengunjungi karnival kerana terdapat pelbagai kekosongan jawatan ditawarkan kepada mereka,” ujarnya.

Soffian menambah, karnival juga akan mengadakan simulasi perniagaan secara beramai-ramai pada hari kedua yang dijangka diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
Katanya, aktiviti-aktiviti menarik lain termasuk persembahan pentas artis-artis terkenal tanah air, persembahan kebudayaan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), penjualan buku Big Bad Wolf dan banyak lagi.
“Bagi mereka yang tidak berkesempatan mengunjungi karnival tetapi ingin mengikuti latihan-latihan ditawarkan NTW boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my,” katanya.
Karnival Pembelajaran NTW 2025 bermula hari ini sehingga esok di pekarangan parkir B, Stadium Nasional Bukit Jalil.
