Oleh DR MAHENDRAN CHELLIAH
Data memainkan peranan penting dalam era transformasi digital untuk kejelasan, perancangan dan kemajuan, tetapi bukan untuk kawalan.
Bagaimanapun, terdapat segelintir media cuba menjejaskan usaha kerajaan menerusi teori atau idea yang tidak masuk akal.
Dengan terbaharu, media cuba memutarbelitkan isu mengenai penggunaan data oleh kerajaan yang didakwa untuk mengintip pergerakan mereka.
Walhal, penggunaan data itu sudah dinyahidentiti yang bertujuan untuk perancangan nasional dan dasar awam.
Sekali lagi ditegaskan, tiada data peribadi dikongsi atau diakses oleh mana-mana pihak.
Kerajaan dan semua pengendali rangkaian mudah alih atau syarikat telekomunikasi terlibat berulang kali secara terbuka menegaskan tiada nama, nombor kad pengenalan atau maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti didedahkan dalam inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD).
Data ini digunakan semata-mata untuk pembangunan infrastruktur, perancangan pelancongan dan penggubalan dasar.
Namun, terdapat media yang tidak berhenti-henti mensensasikan isu berkenaan, sekali gus mencetuskan keraguan dalam kalangan rakyat.
Media seperti itu seperti sengaja menakutkan rakyat supaya percaya kononnya ada ‘Big Brother’ sedang memerhatikan mereka.
Hujah mereka penuh dengan andaian dramatic dan bukannya fakta. Menurut media tidak bertanggungjawab ini, corak data yang dinyahidentiti masih boleh dikesan dan diintip untuk mengesan individu tertentu.
Ini hanyalah teori liar yang sengaja direka untuk menimbulkan ketakutan dan ketidakpercayaan rakyat.
Tetapi, inilah sebenarnya yang menunjukkan sikap hipokrasi sebenar kerana media selama ini bergantung kuat kepada data dan bukan sekadar data tanpa identiti.
Media boleh menjejak siapa yang membaca, apa yang dibaca mereka, berapa lama, dari peranti mana dan dari lokasi mana.
Mereka menggunakan kesemua data ini untuk menarik pengiklan dan membina profil audiens.
Dan tidak seperti kerajaan, mereka tidak selalu telus mengenai bagaimana data itu disimpan atau digunakan.
Kita juga tidak boleh lupa bahawa kebanyakan rakyat Malaysia secara harian menyerahkan lebih banyak maklumat kepada aplikasi media sosial, laman web dan platform dalam talian, dengan mudah bersetuju kepada terma dan syarat tanpa membaca dengan teliti.
Namun, apabila melibatkan usaha kerajaan, rakyat seolah-olah melenting dan menganggapnya sebagai ancaman.
Apabila syarikat korporat melakukannya (mengambil data), ia digelar pamasaran disasarkan namun, apabila kerajaan melakukannya demi manfaat awam, ia dianggap sebagai penjejakan. Hipokrasi ini jelas dan nyata.
Semua syarikat telco tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi. Jika mereka melanggarnya, mereka boleh diheret ke mahkamah. Ada langkah keselamatan, rangka kerja, dan saluran undang-undang yang tersedia.
Tetapi daripada memaklumkan kepada orang ramai secara bertanggungjawab, ada media yang memilih untuk mengapi-apikan keadaan, memesongkan niat, memutar fakta, dan berpura-pura menjadi juara privasi sedangkan mereka sendiri mengeksploitasi data pembaca.
Mari kita jujur. Ini bukan tentang melindungi rakyat. Ini tentang menghasut perpecahan, dan menyebarkan naratif ketidakpercayaan walaupun fakta telah tersedia dan telus.
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia melihat permainan mereka. Data bukan musuh. Manipulasi media yang tidak bertanggungjawab – itulah ancaman sebenar.
Kerajaan bukan hendak mengintip anda. Tetapi ada segelintir media yang jelas mahu mengeksploitasi emosi anda, memesongkan kebenaran, dan merosakkan kepercayaan – semata-mata untuk perhatian dan kepentingan politik.
Perkara ini mesti dihentikan. Rakyat Malaysia berhak mendapat fakta sebenar dan bukan ketakutan.
