KUALA LUMPUR: Tuduhan tidak berasas tanpa usul periksa berhubung inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) boleh mengelirukan orang ramai.
Kekeliruan itu pula boleh menjejaskan usaha negara membangunkan sumber data rasmi yang lebih tepat dan boleh dipercayai.
Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zurkanain Mohd Yasin berkata, MPD bukan untuk memantau atau mengawal pergerakan individu seperti didakwa segenlitir pihak tidak bertanggungjawab.
“Langkah itu (menggunakan data) berasaskan data raya (big data) secara agregat untuk menghasilkan pandangan makro bagi membantu perancangan pembangunan negara.
“Projek itu masih di peringkat awal dan Jabatan Perangkaan (DOSM) akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk penerangan lanjut selepas ini,” katanya seperti dipetik FMT dalam satu kenyataan eksklusif baru-baru ini.
Antara parameter yang dikumpulkan ialah pengecam pelanggan yang telah dianonimkan, tarikh dan masa transaksi, ID unik, koordinat struktur atau menara pemancar, jenis data sama ada Call Detail Record (CDR) atau Packet Data Record (PDR), jenis rangkaian (2G, 3G, 4G, 5G) dan pengecam negara.
Dalam pada itu, Zurkarnain menjelaskan, lokasi yang direkodkan adalah berdasarkan kedudukan struktur atau menara pemancar, bukan lokasi pengguna dalam masa sebenar.
Beliau berkata, inisiatif itu juga diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sumber data raya utama bagi memperkukuh statistik dan alat berkuasa meningkatkan kualiti, ketepatan masa serta perincian maklumat.
“PBB telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Data Telefon Bimbit di bawah Jawatankuasa Pakar Data Raya dan Sains Data melibatkan lebih 50 ahli termasuk Malaysia daripada agensi antarabangsa, kerajaan, akademia dan sektor swasta.
“Inisiatif global ini menyerlahkan keperluan mendesak melangkaui kaedah statistik tradisional dan menerima pakai penyelesaian data yang inovatif bagi memahami serta menangani cabaran masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya.
Pasukan Petugas Khas Data Telefon Bimbit PBB juga dianggotai oleh Jepun, Brazil, Itali, Mexico, Arab Saudi dan Indonesia.
Baru-baru ini, Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa tindakan kerajaan mengarahkan semua syarikat telekomunikasi menyerahkan data penuh pengguna telefon, antara lain mengganggu privasi serta membuka ruang salah guna maklumat.
Ada juga segelintir pihak cuba menggambarkan kerajaan sedang melakukan ‘pengintipan besar-besaran’ ke atas rakyat menerusi MPD.
