KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian levi pendidikan bagi semua institusi pendidikan swasta mulai 1 Januari 2026.
Beliau berkata, ini adalah kali pertama dalam sejarah kerajaan mengumumkan pengecualian bagi meningkat mutu pendidikan.
“Pengecualian itu melibatkan pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, institusi pengajian tinggi (IPT) serta institut latihan yang bertujuan memberi ruang kepada kementerian berkaitan untuk menumpukan usaha meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran negara.
“Saya sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memantau supaya semua institusi pendidikan ini dapat memberi yang terbaik,” katanya pada Majlis Kemuncak National Training Week 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dalam pada itu, Anwar menambah, golongan guru juga harus didedahkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan pelajar harus diberikan pengetahuan lebih mendalam mengenai AI.
“Jika tidak, ada kelompongan dalam memberi keperluan semasa dengan mereka yang mendapat latihan.
“Sekiranya negara ingin maju dan mencatat pertumbuhan meyakinkan, negara tidak boleh kekal di tahap lama, latihan serta pendekatan yang lama,” katanya.

Sementara itu, Steven berkata, bagi menggembleng usaha mempertingkatkan kemahiran rakyat dalam aspek industri 4.0, KESUMA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan program ‘AI For Educaters’.
“Program ini bertujuan untuk melatih hampir 400,000 pendidik seluruh negara dalam penggunaan AI untuk pengajaran mereka.
“Bukan sahaja setakat teknik dan kemahiran tetapi juga daripada aspek etika serta sebagainya agar guru sebagai barisan hadapan sektor pembangunan modal insan akan mempunyai ilmu dan kemahiran berdepan dengan cabaran era zaman AI,” ujarnya.
Beliau menambah, ia mencerminkan bukan saja komitmen KESUMA, malah kerajaan MADANI untuk pastikan guru dapat dibekalkan kemahiran tercanggih bagi melahirkan rakyat yang mampu berdepan dengan cabaran komitmen abad ke-21.
