
KUALA LUMPUR: Seramai lebih 600 peserta tidak melepaskan peluang mengikuti Jelajah Pembelajaran National Training Week (NTW) 2025 di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Jelajah Pembelajaran NTW 2025 Wilayah Utara yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) menawarkan pelbagai latihan kemahiran percuma dan berimpak tinggi.
Menurut kenyataan media HRD Corp, program latihan yang ditawarkan termasuk Pengekodan Robotik, Asas Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Siber, Bantuan Kecemasan (AED), Kesedaran Kesihatan Mental, Undang-undang Koperasi untuk usahawan dan latihan kemahiran kreatif bagi golongan orang kelainan upaya (OKU),
“Para peserta pula terdiri daripada pelajar sekolah, penjawat awam, golongan B40, OKU, ahli koperasi dan warga emas.
“Program latihan yang ditawarkan adalah untuk memperkasa para peserta dengan kemahiran praktikal selari keperluan tenaga kerja masa hadapan,” katanya.

Jelajah Pembelajaran NTW 2025 Wilayah Utara dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, Ketua Pegawai Strategi (Menanggung Tugas Ketua Eksekutif) HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee, Ketua Pegawai Program HRD Corp merangkap Pengerusi NTW, Soffian Mohammed Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus.
Ujar kenyataan tersebut, inisiatif berkenaan turut menyokong matlamat strategik Pelan Tindakan Pulau Pinang 2030 dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.
Katanya, kerjasama bersama PIC memperkukuh komitmen NTW dalam merangsang kerjasama sektor awam dan swasta untuk pembangunan modal insan tempatan.

Dalam pada itu, katanya lagi, Steven Sim turut mengumumkan satu kerjasama strategik antara HRD Corp dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) di bawah Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP).
“Menerusi inisiatif ini, kami memperkenalkan Program Dana Padanan bagi Pembangunan Kemahiran yang akan membantu industri tempatan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang teknologi termaju.
“Majikan boleh membangunkan latihan bersama institusi pembelajaran pilihan mereka, dengan sokongan pembiayaan daripada HRD Corp melalui levi dan NCIA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” kata Steven Sim.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut mengumumkan kelulusan pelaksanaan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran untuk keluarga Nelayan dan Komuniti Setempat di Pulau Pinang Selatan di bawah Inisiatif Latihan Impak Berfokus (FITI) bagi membantu komuniti nelayan memperkukuh taraf sosioekonomi keluarga mereka.
Melalui program itu, sebanyak 420 peserta daripada komuniti itu akan menerima latihan dalam pelbagai bidang, termasuk kursus jurumudi, penyelia keselamatan tapak, aplikasi komputer dan pegawai keselamatan.





