
KUALA LUMPUR: Kehalusan seni tradisional tenunan dari seluruh rantau Asia Tenggara dihimpunkan dalam Pameran Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan di Galeri 2, Muzium Negara di sini bermula 20 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini.
Pengarah Muzium Tekstil Negara, Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman berkata, tujuan utama pameran berkenaan adalah untuk meraikan kebersamaan seni tekstil tenunan yang merentasi Asia Tenggara.
“Kita kumpulkan seluruh tenunan yang terdapat di Asia Tenggara di bawah satu galeri untuk dipamerkan kepada pengunjung kerana ia merupakan budaya ketimuran yang perlu dikekalkan.
“Selain itu, pameran ini juga adalah satu inisiatif Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya ketika ditemui Ceritera.

Beliau menjelaskan, kain tenunan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat ASEAN bukan sahaja sebagai pakaian tetapi menjadi lambang identiti, status sosial, tradisi dan kepercayaan budaya sesebuah masyarakat.
Pada kebiasaannya, Tengku Intan Rahimah menambah, kain tenunan digunakan dalam upacara adat, pertabalan, perkahwinan dan kematian.
Mengulas mengenai persamaan ketara bahan tenunan pada pameran berkenaan, beliau memberitahu, bahan utama digunakan meliputi serat dan kapas yang boleh didapati di Asia Tenggara.
“Selain itu, seni tenunan melambangkan jati diri identiti pada setiap negara yang memiliki kepakaran dalam tenunan berkenaan dan fungsi pakaian tenunan ini.
“Perbezaan yang boleh dilihat dari segi corak pada setiap tenunan. Sebagai contoh, Malaysia lebih kepada flora dan fauna manakala Laos serta Kemboja pula bersifat naga serta kerohanian,” katanya.

Beliau berkata, keunikan pameran berkenaan adalah seni tenunan ASEAN dikumpulkan di bawah satu bumbung malah orang ramai dapat pendedahan mengenai proses-proses pembikinan seni tenunan berkualiti dari rantau Asia Tenggara.
Tengku Intan Rahimah menambah, para pengunjung juga dapat mendekati struktur alat tenun seperti Kek Melayu, Pisang Lanut (Tolon), Gedong Tuban, Rungus (Babaal) dan Yadanapura.
“Alat-alat tenunan tradisi dan kain-kain tenunan yang dibawa dari negara-negara ASEAN merupakan antara nilai tinggi pada pameran ini.
“Selain itu, kita juga telah merangka pelbagai aktiviti menarik sepanjang pameran antaranya ialah bengkel asas tenunan, DIY tenunan, bengkel pewarnaan dan beberapa lagi aktiviti melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Bercerita mengenai cetusan idea pameran berkenaan, beliau berkata, ia merupakan kesinambungan daripada Simposium Fabrik ASEAN yang berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada bulan Julai lalu.
“Pelaksanaan pameran ini melibatkan kolaborasi daripada pelbagai pihak termasuk kedutaan dan beberapa individu yang menyimpan hasil tenunan.
“Saya berharap pameran ini dapat meningkatkan keteguhan dan hubungan antarabangsa melibatkan Malaysia serta negara-negara ASEAN.
“Ia berikutan Pameran Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan menghimpun satu ruang dan satu budaya tenunan yang mana kita berkongsi dalam adat ketimuran,” katanya.

Tengku Intan Rahimah menambah, pameran berkenaan dijangka mampu menjadi platform penyebaran idea dan informasi mengenai seni tekstil tenunan kepada masyarakat.
Pameran Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan membuka ‘pintu’ kepada orang ramai bermula 20 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini di Galeri 2, Muzium Negara secara percuma.





