
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN komited memperkasa pembangunan kemahiran dan transformasi tenaga kerja rantau ini menerusi penerimaan Kenyataan Bersama mengenai Pembangunan Kemahiran bagi Tenaga Kerja Masa Hadapan ASEAN yang dimuktamadkan di sini semalam.
Kenyataan Bersama itu dibincangkan dalam Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN-Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025.
Majlis penyerahan deklarasi bersejarah itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, serta Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN semasa Majlis Perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025.

Kenyataan Bersama tersebut mencerminkan tekad ASEAN untuk memacu transformasi tenaga kerja melalui pelaksanaan strategi kemahiran yang holistik, inklusif dan berorientasikan masa hadapan.
Steven berkata, ASEAN perlu bergerak ke arah menjadi hab bakat global, dengan setiap negara anggota menyumbang kekuatan dan kepakaran masing-masing.
“Kita mempunyai keutamaan dan hala tuju nasional yang berbeza, namun perlu memperkukuh perkongsian amalan terbaik dalam latihan kemahiran.
“Langkah ini penting untuk menyeragamkan piawaian kemahiran, pengiktirafan pensijilan dan meningkatkan kebolehgerakan tenaga kerja di seluruh rantau,” katanya.
Beliau turut menekankan tiga nilai teras dalam agenda kemahiran ASEAN, iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan.

“Latihan kemahiran mesti mudah diakses oleh semua, disesuaikan dengan keperluan dunia sebenar terutama dalam era Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan, serta mampan dari segi sumber dan pembiayaan,” katanya.
Inisiatif ini turut menegaskan kerjasama serantau dalam perkongsian amalan terbaik, pertukaran maklumat pasaran tenaga kerja, dan pelaksanaan pembelajaran digital serta sepanjang hayat bagi memastikan rakyat ASEAN dilengkapi kemahiran masa hadapan termasuk kemahiran hijau, digital dan AI.
Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata AYOS 2025 lahir daripada iltizam bersama untuk melengkapkan setiap warganegara ASEAN dengan kemahiran dan peluang yang sesuai bagi menghadapi dunia pekerjaan yang berubah pantas.
“Setiap platform di bawah AYOS 2025 adalah perjalanan daripada visi kepada tindakan nyata, memacu pembangunan bakat dan mempersiapkan rantau ini menghadapi masa depan,” katanya.

Katanya, AFMM-HCD menjadi wadah penting dalam memperkukuh visi Malaysia untuk mewujudkan ekosistem kemahiran yang inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan agenda pembangunan modal insan ASEAN.
Malaysia, melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp, memainkan peranan utama dalam penganjuran AYOS 2025 sempena Pengerusian ASEAN Malaysia, yang menghimpunkan kerajaan, industri dan institusi pembelajaran bagi memacu tenaga kerja ASEAN yang kompetitif dan berkemahiran tinggi.
Penerimaan Kenyataan Bersama ini menjadi bukti kepada visi kolektif ASEAN dalam membina rantau yang berkemahiran, berdaya tahan dan terus belajar dalam menghadapi transformasi global.
Dengan sokongan padu ILO dan Sekretariat ASEAN, AYOS 2025 menonjolkan kepimpinan Malaysia serta kejayaan bersama ASEAN dalam memperkukuh pembangunan kemahiran, memacu inovasi dan menggalakkan pertumbuhan inklusif di rantau ini.






