
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat rondaan di kawasan sekolah di seluruh negara bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga pendidik sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk melaksanakan rondaan berkala melalui unit rondaan, risikan jenayah serta pasukan pemantauan khas.
beliau berkata, pihaknya mengarahkan semua Ketua Polis Negeri supaya menjalankan rondaan berkala dan jika perlu, memasuki kawasan sekolah selama satu hingga lima minit menggunakan kenderaan peronda atau unit pemantauan bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal dan tindakan ini akan dilaksanakan segera.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan memang ada mesyuarat dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan meneruskan langkah meletakkan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar.
Langkah itu diambil selepas kerajaan meneliti peningkatan kes buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang semakin berleluasa serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Tambah Mohd. Khalid, terdapat lebih 9,000 sekolah di seluruh negara dan setiap sekolah mempunyai pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang berperanan sebagai penghubung antara pihak sekolah dan polis.
“Kita akan memperkukuhkan sinergi antara PDRM dan KPM, dan sekiranya perlu melihat kepada keperluan-keperluan akan datang, kita akan pastikan perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.






