
KUALA LUMPUR: Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia bermula hari ini hingga Isnin atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Luar memaklumkan, ia merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden pada Februari 2018.
Ramaphosa akan menghadiri mesyuarat dua hala serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai tetamu pengerusi.
Beliau dan isteri, Dr Tshepo Motsepe dijangka tiba malam ini diiringi beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, Ramaphosa akan diberikan majlis sambutan rasmi di Perdana Putra di Putrajaya esok diikuti mesyuarat bilateral dengan Anwar di Kompleks Seri Perdana.
Kementerian itu memaklumkan kedua-dua pemimpin dijangka berbincang mengenai hubungan dua hala Malaysia-Afrika Selatan dan meneroka jalan untuk mengukuhkan lagi kerjasama, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pertanian, pertahanan, sains, teknologi dan inovasi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan, pengangkutan dan pembinaan kapasiti.
“Mereka juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025 dan Presidensi G20 Afrika Selatan 2025, BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan Kerjasama Dialog Sektor ASEAN-Afrika Selatan.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka mengesahkan komitmen kedua-dua negara dalam isu Palestin,” menurut kenyataan itu.
Menurut Kementerian Luar, sebagai mengiktiraf kepimpinan Ramaphosa yang berwawasan dan komitmen teguh terhadap demokrasi dan hak asasi manusia terutamanya advokasi untuk Global Selatan dan rakyat Palestin, beliau akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Perhubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya pada Majlis Konvokesyen Khas pada 27 Oktober ini.
Ramaphosa juga akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad dan pada hari berikutnya beliau akan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 serta menghadiri majlis makan malam gala yang dianjurkan oleh Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.






