
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, bertitah ASEAN perlu memastikan kemajuan ekonomi di rantau ini kekal inklusif dan adil agar pertumbuhan yang dikecapi tidak hanya dinikmati oleh segelintir pihak.
Baginda menegaskan, pembangunan tanpa keterangkuman boleh melebarkan jurang sosial serta menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi.
Menurut baginda, pertumbuhan ekonomi yang mampan mestilah memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat sama ada di bandar besar, pekan kecil mahupun di luar bandar, sambil memastikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan generasi akan datang terus terpelihara.
Titah baginda itu menegaskan keperluan ASEAN menyeimbangkan antara kemajuan ekonomi dan keadilan sosial agar pembangunan yang dicapai benar-benar membawa erti kesejahteraan bersama.
“Pada masa sama, kita pelu berusaha lebih gigih bagi memastikan strategi pertumbuhan tidak menjejaskan keindahan alam sekitar atau memburukkan lagi krisis pemanasan global yang kian meruncing,” titah baginda dalam perutusan diraja sempena Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN 2025 di sini hari ini.
Sultan Nazrin Shah bertitah pembangunan inklusif mesti benar-benar memenuhi keperluan rakyat tanpa menjejaskan kesejahteraan generasi masa depan, di samping menekankan kepentingan kestabilan, perpaduan serantau dan kekuatan institusi.
Baginda menegaskan tadbir urus yang baik merupakan asas utama kepada pertumbuhan inklusif, kerana nilai integriti dan kebertanggungjawaban menjadi teras dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan.
Rakyat di seluruh ASEAN, titah baginda, semakin menuntut ketelusan dan keadilan yang lebih kukuh yangmana tuntutan itu tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada kepimpinan, sebaliknya peluang untuk mempertingkat kecekapan serta memperteguh hubungan antara pemerintah dan rakyat.
Dalam perutusan diraja itu, baginda turut menyorot pelaksanaan pelbagai pembaharuan di Malaysia, khususnya dalam bidang perolehan, pengurusan kewangan awam dan penyampaian perkhidmatan digital sebagai langkah yang dilihat mampu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi serta menjamin tadbir urus lebih berakauntabiliti.
“Perkara sama turut berlaku di seluruh rantau ini, daripada inisiatif data terbuka yang meningkatkan pemantauan awam sehingga proses belanjawan memberi peluang kepada rakyat menyumbang dalam membuat keputusan. Sebagaimana pertumbuhan ekonomi, tadbir urus juga harus bersifat inklusif.
“Apabila inklusif, kepercayaan dapat dipupuk sekali gus mewujudkan kesahan, kestabilan serta keyakinan untuk melabur dan berinovasi,” titah baginda.
Sementara mengenai peranan sektor kewangan, Sultan Nazrin bertitah kewangan beretika haruslah memacu keterangkuman dan kemakmuran bersama dan menyeru perniagaan untuk menerima pakai tiga penentu keuntungan (triple bottom line), iaitu manusia, planet dan keuntungan dalam membuat keputusan.
Baginda bertitah kewangan Islam terbukti sebagai model pertumbuhan berasaskan nilai yang kini mewakili lebih 40 peratus daripada aset sistem kewangan Malaysia manakala di peringkat global, industri itu telah melepasi AS$5 trilion dan terus berkembang sebanyak dua digit setiap tahun walaupun dalam ketidaktentuan kewangan global.
“Kewangan Islam menghubungkan modal dengan tujuan, menggalakkan pelaburan dalam perusahaan produktif dan tidak menggalakkan spekulasi serta eksploitasi,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah meskipun rantau ASEAN mencatat pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, namun jutaan penduduknya masih terpinggir daripada arus kemajuan. Hampir 200 juta orang dewasa masih tidak mempunyai akses kepada kemudahan perbankan asas, manakala liputan jalur lebar di kawasan luar bandar jauh ketinggalan berbanding di bandar.
Baginda menegaskan kekuatan ekonomi tidak seharusnya dipisahkan daripada kebajikan rakyat kerana keuntungan ekonomi yang sebenar perlu diterjemahkan kepada kemajuan sosial yang menyeluruh dan bermakna.
Menyentuh mengenai pendigitalan, baginda bertitah transformasi teknologi mempunyai potensi besar untuk memperkukuh keterangkuman, namun mengingatkan ia juga boleh memperdalam jurang ketidaksamaan sekiranya akses dan celik digital tidak berkembang seiring. Oleh itu, baginda menekankan keperluan membina kepercayaan digital melalui perlindungan siber yang kukuh, jaminan privasi data dan tadbir urus yang beretika terhadap teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Dalam titahnya juga, Sultan Nazrin menyeru agar perpaduan serantau terus diperkukuh dengan menjadikan kepelbagaian ASEAN sebagai sumber kekuatan bersama. Pertumbuhan inklusif, titah baginda, mesti memastikan setiap suara dalam rantau ini diberikan peluang yang sama untuk maju.
Baginda turut menarik perhatian dengan bertitah meskipun dunia berdepan kemelesetan akibat Covid-19, namun ASEAN tetap mencatat kadar pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.9 peratus setahun dan KDNK per kapita sekitar tiga peratus antara tahun 2015 hingga 2024.
Dengan populasi hampir 700 juta orang, ASEAN kini memiliki gabungan KDNK hampir AS$4 trillion, yang menjadi bukti potensi besar rantau ini untuk terus menjadi kuasa ekonomi dinamik yang seimbang dan berdaya saing.






