
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa bersiap siaga memastikan keselamatan negara kekal terjamin terutama selepas Malaysia secara rasmi mengambil alih teraju Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Malaysia bakal menjadi tumpuan sebagai tuan rumah bagi program bertaraf antarabangsa dan anggota PDRM digesa tidak leka dengan keamanan serta kedamaian dikecapi kini.
Beliau berkata, PDRM sebaliknya perlu terus melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden.
“Saya menggesa seluruh warga Sang Saka Biru memperkukuhkan personaliti sebagai penguat kuasa yang berintegriti tinggi, berdedikasi melaksanakan amanah, mematuhi ketetapan peraturan, bersederhana dalam kehidupan dan istiqamah berbuat kebaikan, bersabar dengan cemuhan serta yakin dengan inayah-Nya.
“Keupayaan dan kecekapan pasukan diuji ketika mengendalikan kes berprofil tinggi dan menarik perhatian umum pada sepanjang tahun lalu, sama ada dari aspek sumber manusia, kelengkapan logistik, tata kelola, teknologi dan sebagainya,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu di laman Facebook hari ini.
Razarudin berkata, tahun 2024 mencatatkan kejayaan gemilang buat PDRM hasil usaha gigih setiap jabatan menjalankan fungsi masing-masing selaras Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.
Katanya, ia secara tidak langsung menyumbang kepada pencapaian Malaysia pada peringkat antarabangsa, seperti Indeks Keamanan Global (GPI) 2024, apabila negara berada di tempat ke-10 daripada 163 negara.
“Pencapaian ini sekali gus memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi yang memberangsangkan, hasil keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
“Sehubungan itu, sekalung penghargaan kepada seluruh warga Sang Saka Biru atas komitmen, sumbangan, pengorbanan dan semangat tinggi, menggerakkan pelbagai usaha dan inisiatif dalam menghadapi ancaman keselamatan dan ketidaktentuan global yang semakin kompleks.
“Tidak dilupakan juga pembabitan semua pihak pada peringkat antarabangsa, kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama dalam usaha memantapkan keupayaan benteng keselamatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, jalinan kerjasama perlu diperkukuhkan lagi bagi memenuhi harapan kerajaan dan masyarakat yang menuntut perkhidmatan telus serta berimpak tinggi.
Katanya, peredaran masa menjadikan PDRM semakin matang dan ampuh mendepani pelbagai ancaman jenayah yang berevolusi dengan perkembangan teknologi serta lanskap keselamatan serantau yang tidak menentu.