
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan 52 hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM500,000 menerusi kempen Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang bermula hari ini.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata kempen yang menyasarkan penyertaan sejuta umat Islam itu menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta BYD SEALION 7, melalui cabutan bertuah setiap minggu.
“Cabutan bertuah setiap minggu ini akan diadakan di cawangan Andalusia dan pemenang akan dimaklumkan melalui sesi siaran langsung dalam platform media sosial pada setiap Jumaat malam pukul 8.30 malam hingga 10 malam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ida Riswan turut memberitahu, kempen itu merupakan inisiatif meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenama Andalusia
Katanya, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai JIMBA boleh melayari laman web jimba.com.my.
“Cabutan mingguan juga akan dilakukan secara bergilir di 60 cawangan Andalusia seluruh negara.
“Kita menyasasarkan dapat mengumpul sejuta maklumat pelanggan baharu melalui pendaftaran penyertaan secara dalam talian untuk digunakan dalam kempen pemasaran akan datang.
“Ia turut dijangka menarik pelanggan membeli pakej dengan menawarkan penyertaan serta merta dalam cabutan bertuah,” katanya.
Selain hadiah utama BYD Sealion 7, umat Islam turut berpeluang memenangi tawaran menarik antaranya pakej umrah, percutian ke Turkiye, Eropah, Jepun dan Korea, motosikal serta telefon bimbit.
Andalusia turut memperkenalkan Pakej Baharu Umrah 1447H yang menawarkan harga bermula RM5,990.
Ida Riswana berkata, kempen itu menawarkan pakej umrah penerbangan terus, transit dan ziarah selain pelancongan Muslim.
“Pakej ini menawarkan harga berpatutan dengan harga sebelum Covid-19 selain pilihan seperti tempoh lebih singkat dan pakej pelancongan, malah kami sudah mendapat pengesahan tempat duduk dari lapan syarikat penerbangan,” katanya.