
RANTAU PANJANG: KERAJAAN perlu memberi perhatian serius terutama dalam menerapkan sistem pendigitalan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menangani isu sempadan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ia perlu segera di pasang terutamanya di 169 pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Menerusi perbincangan saya dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusuff Mamat memaklumkan terdapat 169 pangkalan haram di kawasan sempadan yang perlu diberi perhatian serius.
“Saya menyeru Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Kelantan supaya terapkan sistem pendigitan dalam tangani isu sempadan,”katanya Ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengoperasian Rintis AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru supaya isu pemasangan CCTV diselesaikan dengan segera.
“Kita perlu teroka sistem pendigitalan sebagaimana disaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemudah cara,” katanya.