
KUALA LUMPUR: Pengumuman pelaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggusarkan banyak negara, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.
Kejatuhan pasaran saham dunia ketika ini akibat pelaksanaan tarif berkenaan sedikit sebanyak memberi bayangan ekonomi global boleh terjejas pada bila-bila masa dan Malaysia juga tidak terkecuali.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan ekonomi negara masih berada pada landasan yang tepat dan kukuh.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, terdapat beberapa jalan penyelesaian yang boleh diambil untuk berdepan dengan pelaksanaan tarif Trump.
“Yang pertama, Malaysia tidak perlu bertindak balas terhadap pelaksanaan cukai timbal balik atau mengenakan cukai tambahan terhadap import AS.
“Tindakan itu hanya akan mendatangkan persengketaan atau perang perdagangan yang lebih meruncing di antara AS dan Malaysia yang akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Ceritera.
Sebaliknya, beliau berkata, Malaysia bersama negara ASEAN boleh mengeratkan hubungan bagi membentu kuasa ekonomi yang kukuh.
Katanya, jika kesemua negara ASEAN bersatu, rantau itu boleh menjadi kuasa ekonomi kelima terbesar Malaysia.
Sebelum ini, Anwar berkata, tarif yang dikenakan oleh Trump bukan cabaran pertama kepada multilateralisme atau pun yang terakhir tetapi jika ASEAN terus bertekad untuk kekal terbuka, pragmatik dan bersatu, ia menjadi bukti bahawa dunia mampu berfungsi lebih baik apabila bekerjasama.
Katanya, Malaysia akan menyesuaikan diri dengan tarif Trump seperti yang selalu dilakukan negara ini dalam berhadapan dengan cabaran ekonomi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, strategi kepelbagaian perdagangan Malaysia malah sudah pun bermula.
“Angin mungkin beralih, tetapi kita tidak hanyut. Walaupun kami berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan AS, kami akan, seiring, melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga kepentingan ekonomi kami.
“Ini termasuk melibatkan diri secara proaktif dengan AS ke arah mencapai hasil yang saling menguntungkan.
“Pada masa sama mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan kami dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah, Asia, Asia Barat dan Afrika,” katanya.
Dalam pada itu, Bashir menyatakan langkah ketiga yang boleh diambil Malaysia adalah negara perlu memainkan peranan dalam kesatuan ekonomi seperti BRICS yang dianggotai China, Russia, India dengan potensi pelaburan dan perdagangan yang besar.
Bashir juga tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit penurunan dari seri pertumbuhan ekonomi domestik dalam jangka pendek, namun berdasarkan prestasi ekonomi sedia ada, negara masih mampu mendepani cabaran.
“Penumpuan terhadap dasar-dasar seperti tenaga, perindustrian baharu, bioteknologi haruslah dikekalkan momentum pelaksanannya dan diperkasakan.
“Bagi jangka Panjang pula, ada potensi pertumbuhan ekonomi negara Kembali ke landskap asal menyaksikan pelaksanaan cukai timbal balik ini dapat diserap semua sektor,” katanya.