KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan keperluan permit bagi penggunaan gas petroleum cecair (LPG) sebagai langkah tepat pada masanya untuk melindungi peniaga tempatan.
Presidennya, William Ng, berkata, walaupun bersifat pentadbiran kecil, kesannya besar kepada kesinambungan perniagaan dan kos sara hidup rakyat.
“Tanpa langkah ini, ribuan perniagaan kecil terutamanya dalam sektor mikro dan tidak formal mungkin terjejas teruk. Kami amat menghargai pendekatan proaktif kerajaan berjaya mengelakkan krisis perniagaan mikro di peringkat nasional.
“Keputusan ini menghantar mesej jelas dan positif kerajaan mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai tonggak utama ekonomi negara serta bersikap responsif dan bersedia menambah baik dasar berdasarkan maklum balas peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali memaklumkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman dibenarkan terus menggunakan tong gas LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 2021 dimuktamadkan Oktober ini.
Beliau berkata, dalam tempoh peralihan itu, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga berkenaan.
Mengenai pengecualian e-invois serta lanjutan tempoh pelaksanaan e-invois bagi PKS, Ng berkata, langkah itu melindungi peniaga kecil, penjaja dan kedai milik keluarga yang kebanyakannya tiada infrastruktur digital daripada beban pematuhan yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar atau beroperasi secara tidak formal.
“Kami amat menghargai keputusan tegas kerajaan mengecualikan secara kekal perniagaan yang mencatatkan pendapatan tahunan bawah RM500,000 daripada kewajipan e-invois.
“Begitu juga penangguhan pelaksanaan e-invois bagi perniagaan dengan pendapatan bawah RM5 juta kepada 1 Jan 2026 memberi ruang dan masa amat diperlukan PKS untuk membuat persediaan, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri.
“Fleksibiliti sebegini amat penting bagi kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan kecil dalam landskap ekonomi kian berubah.”
Semalam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan bawah RM500,000 dikecualikan pelaksanaan sistem e-Invois buat masa ini.
Katanya, pelaksanaan e-invois bagi pembayar cukai berpendapatan RM1 juta hingga RM5 juta ditangguh kepada 1 Jan 2026, manakala kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula 1 Julai 2026.
Menurut LHDN, keputusan itu selepas kerajaan mengambil maklum komitmen pembayar cukai, khususnya peniaga kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang memerlukan masa selain berdepan pelbagai cabaran pelaksanaan.
