
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menetapkan sasaran meningkatkan Indeks Kualiti Air (IKA) sekurang-kurangnya 10 peratus bagi 33 sungai yang dikategorikan tercemar di seluruh negara.
Sasaran berkenaan adalah dalam tempoh setahun menerusi pelaksanaan langkah pemuliharaan dan kawalan pencemaran secara bersepadu.
Ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan PETRA, jumlah sungai tercemar meningkat daripada 25 sungai pada 2023 kepada 27 sungai pada 2024 sebelum bertambah kepada 33 sungai tahun lalu berdasarkan Laporan Status Kualiti Air Sungai 2025 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Daripada 672 sungai utama yang dipantau, sebanyak 467 sungai atau 69 peratus dikategorikan bersih, manakala 172 sungai (26 peratus) berada pada tahap sederhana tercemar dan 33 sungai (lima peratus) dikategorikan tercemar.
“Ammoniakal Nitrogen (AN) dikenal pasti sebagai parameter pencemar utama yang memerlukan perhatian dalam usaha meningkatkan kualiti air sungai negara,” kata kenyataan itu.
PETRA menambah, mesyuarat turut menetapkan pemberian pengiktirafan yang bersesuaian kepada kerajaan negeri yang berjaya mencapai sasaran peningkatan IKA berkenaan.
Bagi memperkukuh pengurusan pencemaran, PETRA berkata, mesyuarat memutuskan pelaksanaan kajian rintis pengurusan punca pencemaran tidak tetap atau non-point source (NPS) secara bersepadu di sebuah lokasi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan dipilih.

“Kajian itu bertujuan menguji kebolehgunaan data di lapangan, menganggarkan beban pencemaran, mengenal pasti kawasan keutamaan serta merangka tindakan kawalan yang bersesuaian.
“Selain itu, Jawatankuasa Teknikal Piawaian Pelepasan Efluen akan ditubuhkan di bawah pimpinan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan kerjasama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
“Jawatankuasa berkenaan akan menyelaras pelaksanaan piawaian pelepasan efluen di kawasan bandar dan luar bandar bagi memperkukuh kawalan pencemaran daripada sumber pelepasan air sisa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, PETRA menjelaskan, Garis Panduan Pemasangan Panel Solar Terapung di Atas Takungan Air dan Tasik di Malaysia turut dilancarkan sebagai rujukan bagi memastikan pembangunan teknologi solar terapung dilaksanakan secara terancang dan mampan, dengan mengambil kira aspek kelestarian sumber air negara.
PETRA menambah, pelaksanaan langkah bersepadu itu dijangka membantu memperkukuh kawalan pencemaran di punca, melindungi sumber air serta meningkatkan keselamatan air negara.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan meneruskan penyelarasan tindakan pemuliharaan bagi memastikan sungai negara terus terpelihara demi kepentingan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.






