
KUALA LUMPUR: Semangat juang skuad bola sepak remaja wanita negara mendapat penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun impian melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 di China tidak kesampaian.
Beliau berkata, meski tewas kepada India dan terlepas peluang ke Piala Asia Wanita B-17 2027 di China, semangat juang skuad bola sepak remaja wanita negara tetap wajar dihargai.
“Syabas atas usaha dan keberanian yang ditampilkan sepanjang kejohanan.
“Jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat dan melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang.
“Teruskan melangkah, Malaysia!,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Skuad kendalian Takayoshi Ishihara akur dengan kekalahan 0-4 kepada India pada aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terpaksa melupakan hasrat beraksi pada pentas tertinggi Asia selepas India mempamerkan penguasaan permainan lebih meyakinkan untuk menutup kempen dengan kemenangan bergaya.







