
20102023 - KUALA LUMPUR - Himpunan Solidariti Bersama Palestin yang bermula dari Masjid Tabung Haji menunju ke kedutaan Amerika Syarikat. Pix by ABDUL RAZAK LATIF
PUTRAJAYA: Perdana Menteri menyambut baik persetujuan gencataan senjata antara Hamas dan Isarel di Gaza yang akan berkuatkuasa pada Ahad ini, sekali gus mengakhiri penderitaan rakyat Palestin sejak konflik bermula Oktober tahun lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah yang amat ditunggu-tunggu itu memberi kelegaan kepada penduduk Gaza yang sudah lama menderita akibat penindasan Zionis.
“Saya mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi orang tengah antara Hamas dan Israel. Saya juga berterima kasih kepada Presiden Donald Trump di atas peranannya dalam rundingan damai itu sehingga membuahkan hasil.
“Masyarakat antarabangsa perlu memastikan langkah itu (gencatan senjata) dilaksanakan, sekali gus membuka ruang dan jalan untuk perbincangan mengenai fasa seterusnya.
“Fasa itu akan membawa kepada kestabilan dan pembangunan semula di Gaza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri juga memaklumkan beliau akan menghubungi rakan sejawatnya, iaitu Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bagi berbincang pelan pembangunan semula untuk Gaza yang dipersetujui semasa lawatannya ke negara ini, baru-baru ini.
“Kerjasama dan sokongan daripada rakan Asia Timur adalah penting bagi memastikan pembangunan semula di Gaza berjalan lancar dan menyeluruh,” katanya.
Anwar dalam pada itu menegaskan, walaupun pembangunan semula menjadi keutamaan di Gaza ketika ini, adalah penting juga untuk menuntut bela kematian lebih 46,700 rakyat Palestin dan lebih dua juta yang lain kehilangan tempat tinggal akibat konflik tersebut.
Katanya, keadilan untuk semua rakyat Gaza perlu dituntut daripada pihak yang bertanggungjawab dengan kemusnahaan dan penderitaan yang berlaku.
“Keadilan dan tanggungjawab yang diambil untuk tindakan sepanjang konflik itu berlaku kekal kritikal dan tidak boleh diketepikan.
“Gencatan senjata ini mesti berfungsi sebagai batu loncatan ke arah matlamat yang sudah lama tertangguh dalam usaha mewujudkan dan mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdya maju, berdaulat serta merdeka.
“Kedamaian yang adil dan berkekalan bergantung kepada usaha menari punca kepada semua konflik yang berlaku,” ujarnya.
Konflik antara Hamas dan Israel bermula Oktober 2023 menyaksikan tentera Zionis melancarkan serangan besar-besaran terhadap Semenanjung Gaza.
Israel mendakwa serangan itu dilancarkan sebagai membalas dendam tindakan Hamas menceroboh Israel sehingga mengakibatkan lebih 1,000 penduduknya terkorban.
Serangan udara dan darat oleh tentera Israel menjadikan Gaza seperti padang jarak padang tekukur dengan kemusnahan mega.
Semua kemudahan utama di wilayah itu musnah sama sekali dan memerlukan masa yang lama untuk pembangunan semula.