
KUANTAN: Sebarang pemotongan melalui Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diagihkan kepada murid sekolah rendah dan menengah oleh mana-mana pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak sama sekali akan berlaku, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata, pihak kementerian menyedari beberapa aduan yang dikemukakan ibu bapa dan kebimbangan mereka berhubung perkara tersebut.
“Objektif utama pemberian kerajaan ini (BAP) adalah untuk membantu ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan awal persekolahan bagi anak-anak mereka. Sebelum ini, ada ibu bapa yang risau BAP akan dipotong oleh pihak sekolah atau PIBG.
“Justeru dengan jaminan KPM, kita telah arah pemberian BAP tidak dipotong dan akan dapat digunakan sepenuhnya mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 peringkat Pahang di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di sini hari ini.
Ahmad Suhaimi berkata, sebanyak RM39.13 juta BAP diperuntukkan kerajaaan untuk diagihkan kepada 260,904 murid sekolah rendah dan menengah di Pahang.
“Anggaran penerimaan BAP pada 2025 bagi semua sekolah iaitu sekolah di bawah KPM dan sekolah bukan di bawah KPM adalah lebih 5.2 juta murid, dengan peruntukan diluluskan berjumlah RM791.25 juta.
“Bagi sekolah di seluruh negara di bawah KPM, jumlah peruntukan BAP yang disalurkan adalah sebanyak RM723.16 juta untuk manfaat 4.82 juta murid manakala Pahang pula, penyalurannya sebanyak RM39.13 juta,” katanya.
BAP mula diperkenalkan sejak 2012 sebagai bantuan tunai secara ‘one-off’, kini turut diperluas kepada pelajar tingkatan enam yang akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.