
KUALA LUMPUR: Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di lapan buah lokasi seluruh negara.
Lokasi tersebut ialah di Melaka (peringkat kebangsaan) pada 5 April, Selangor 6 April, Pahang 11 April, Kelantan dan Pulau Pinang pada 12 April, Sarawak pada 19 April ,Perak pada 25 April dan Perlis pada 27 April.
Sekretariat Induk Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri memaklumkan, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Perdana Menteri akan meneruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Katanya, program ini merupakan satu usaha penting dalam mengetengahkan agenda Malaysia MADANI yang berpaksikan nilai kesejahteraan, hormat dan ihsan.
“Selaras dengan tema ‘Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’, majlis ini menzahirkan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh nilai-nilai murni seperti kasih sayang, toleransi dan hormat dalam kalangan rakyat berbilang
kaum.
“Ia diharap dapat menyemai semangat kebersamaan yang merentasi perbezaan latar belakang dan fahaman, selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat yang saling memahami dan menghargai antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah dan kementerian peneraju sebagai penganjur bersama.
Katanya, Perdana Menteri akan hadir sebagai tetamu utama dan turut dihadiri oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan.
“Majlis ini bukan sekadar acara sambutan sahaja tetapi menjadi sebuah wadah yang menyatukan rakyat melalui nilai budaya, tradisi dan kemasyarakatan.
“Penganjuran majlis ini turut diharap dapat memperkukuh semangat kekitaan dan membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dan kepimpinan negara dalam suasana yang penuh silaturahim dan muhibah,” katanya.
Katanya, acara ini juga menyerlahkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mendekati rakyat di semua peringkat dan aliran, di samping membina jalinan yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri.
Pengunjung juga digalakkan untuk berpakaian kemas, sopan dan mengenakan busana tradisional seperti baju kebangsaan atau baju raya.