
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar hari ini menasihati semua pihak untuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang dianuti majoriti rakyat Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata semua pihak perlu mengelakkan daripada menimbulkan sebarang isu yang boleh mencetuskan sensitiviti agama.
Ini kerana katanya, sikap mereka itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Merujuk insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di media sosial baru-baru ini, Mohd. Na’im berkata perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.
“Saya berasa amat dukacita kerana insiden-insiden sebegini masih berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia, yang seharusnya telah memahami batas-batas sensitiviti agama dan implikasi undang-undang dalam membuat sebarang kenyataan atau komentar, terutamanya di platform media sosial,.
“Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperkukuh usaha dan program kesedaran masyarakat, bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada dalam menggunakan media sosial serta sentiasa menjaga adab dan batas sensitiviti agama
“Usaha ini penting bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan antara kaum dan agama di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.