
PETALING JAYA: Polis menerima 17 lagi laporan berhubung dakwaan kes kanak-kanak dikurung di sebuah taska di Shah Alam, menjadikan keseluruhan 20 laporan setakat pukul 12.46 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan termasuk semakan berkaitan lesen operasi, sijil kelulusan serta pematuhan prosedur melibatkan taska terbabit.
“Pemilik cawangan serta pengasas taska tersebut telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan menyiasat dakwaan seorang kanak-kanak lelaki autisme dikurung di sebuah taska swasta di Shah Alam selepas menerima tiga laporan awal berhubung kejadian itu.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke taska berkenaan sejak berusia kira-kira lima tahun dan kini berumur 11 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.






