
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed bagi kesalahan merogol seorang wanita, sekali gus memerintahkan dia menjalani hukuman penjara serta-merta.
Hakim Adlin Abdul Majid menolak rayuan yang dikemukakan oleh tertuduh atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang dikenakan sebelum ini.
Menurut hakim, pembelaan tertuduh hanyalah berbentuk penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Keterangan tertuduh tidak meyakinkan dan tiada alasan khas untuk mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman.
“Kesalahan ini adalah serius dan sabitan serta hukuman yang dikenakan adalah selamat,” katanya.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkenaan berkuat kuasa bermula hari ini.
Pada 30 Ogos 2024, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Sebelum ini, tertuduh memfailkan notis rayuan susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang diputuskan oleh Hakim Norazlin Othman.






